Press Release

PRESS RELEASES

Get Our Latest Updates

Untung bersih Country View RM70.51 juta

22 Jan 2019

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Country View Bhd melonjak kepada RM70.51 juta pada tahun kewangan berakhir 30 November 2018 daripada RM28.47 juta pada tahun kewangan 2017.

Perolehan meningkat kepada RM236.06 juta daripada RM121.95 juta bagi tempoh yang sama.

Menurut pemaju hartanah itu, prestasi positif tersebut dipacu terutama daripada bahagian pembangunan hartanah.

“Lonjakan perolehan dan keuntungan sebelum cukai bagi tahun kewangan 2018 didorong terutamanya daripada penyelesaian penjualan tanah di Kulim, Kedah pada suku keempat,” menurutnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Country View juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM90.79 juta pada tahun kewangan 2018 berbanding RM40.01 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Pada masa depan, syarikat kekal berhati-hati susulan keperluan pinjaman ketat yang berterusan oleh institusi kewangan, selain persaingan sengit dalam kalangan pemaju serta sentimen pasaran yang lemah.

“Perolehan dan keuntungan bagi tahun kewangan 2019 dijangka dipacu oleh rumah kluster tiga tingkat (siri Spring Meadow dan Winter Sonata); rumah teres tiga tingkat (Superlink XL); pejabat kedai tiga tingkat; kediaman berperkhidmatan berpusat serta perumahan mampu milik di bawah Rumah Mampu Milik Johor di Taman Nusa Sentral, Iskandar Puteri," menurut Country View.

Menurutnya, syarikat turut merancang untuk melancarkan kediaman berkembar dua tiga tingkat di Taman Nusa Sentral pada tahun kewangan ini.

-BERNAMA

Source : 
Berita Harian Online